PENGENALAN


Kolej Komuniti Kulim ditubuhkan pada 1 Julai 2007. Pada awal penubuhannya, Kolej Komuniti Kulim beroperasi di bangunan Kolej Komuniti Cawangan Bandar Baharu, Kedah. Kolej Komuniti Kulim merupakan Institusi Pendidikan Tinggi Awam di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia. Pengambilan pelajar yang pertama adalah pada 16 Julai 2007 bagi program Sijil Perakaunan Perniagaan seramai 15 orang dengan jumlah staf seramai 5 orang.

Pada 9 Disember 2007, Kolej Komuniti Kulim telah berpindah ke premis sewaan di Taman Kota Kenari, Kulim, Kedah dan pada 30 Ogos 2012, Kolej Komuniti Kulim mula beroperasi di premis sendiri di Taman Kota Kenari, Kulim, Kedah. Pada tahun 2018, Kolej Komuniti Kulim mempunyai seramai 150 orang pelajar (semasa) dengan jumlah staf seramai 38 orang. Pengambilan pelajar adalah 2 kali setahun iaitu ambilan sesi Jun dan Disember.

Premis Kolej Komuniti Kulim merupakan bangunan rumah kedai dan tidak berpagar bagi memudahkan masyarakat setempat untuk akses sesuai dengan objektif kolej komuniti yang menawarkan pendidikan dan perkhidmatan untuk komuniti setempat dan lebih mesra rakyat.

Kolej Komuniti Kulim dilengkapi dengan pelbagai prasarana dan fasiliti termasuk pejabat pentadbiran, bilik pensyarah dan pegawai, makmal, studio fotografi, surau, perpustakaan, dewan serbaguna, E-Tech Corner, cafeteria dan juga koperasi. Bas dan van juga disediakan bagi kemudahan pelajar.

Kolej Komuniti Kulim menawarkan pengajian sepenuh masa dan separuh masa (kursus pendek). Dua program pengajian sepenuh masa peringkat sijil bagi lepasan SPM ditawarkan iaitu Sijil Pengoperasian Perniagaan dan Sijil Multimedia Kreatif Pengiklanan. Manakala kursus pendek pula dijalankan setiap hujung minggu dan terbuka kepada masyarakat setempat. Pelbagai kursus re-skilling dan up-skilling ditawarkan bagi memberi nilai tambah bakat individu dan secara tidak langsung dapat menggalakkan pertumbuhan ekonomi komuniti setempat.